NUFFNANG Ads

Thursday, December 17, 2009

Merana 20 tahun ditebus



VIENTIANE, 17 Dis (Bernama) -- Malaysia menamatkan kemarau emas selama 20 tahun selepas menumpaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-25, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini Khamis.

Gol kemenangan Malaysia adalah hasil gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83.

Gol tersebut berpunca dalam perebutan di depan gawang Vietnam ketika hantaran lintang daripada Safiq Rahim, yang ditujukan kepada pemain gantian, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, ditampan oleh Mai Xuan Hop dan masuk ke gawangnya sendiri.

Kali terakhir Malaysia mendapat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur (1989) di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Bermain di depan hampir 17 ribu penyokong lawan yang memakai baju-T merah dan bintang warna kuning di dada, Malaysia dan Vietnam memulakan perlawanan dengan berhati-hati dengan masing-masing cuba melakukan percubaan untuk menguji gawang lawan.

Aksi berhati-hati kedua-dua pasukan menyebabkan bola banyak berlegar di tengah padang dan sesekali, pemain Vietnam yang terkenal dengan larian laju cuba menguji penjaga gawang Malaysia, Mohd Sharbinee Allawee dengan percubaan jarak jauh.

Kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-29 tetapi tandukan S.Kunalan melepasi palang gol.

Terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol pembukaan.

Malaysia tampak mendominasi perlawanan separuh masa kedua bila berjaya mengekang asakan lawan dan menghentikan hantaran jauh mereka menyebabkan penyerang lawan tidak mendapat bantuan apabila berada di hadapan pintu gol Malaysia.

Benteng Malaysia yang dikendalikan oleh Sabre Mat Abu perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang asakan lawan dan ketika barisan penyerang Malaysia pula ketandusan idea, Rajagobal memasukkan Mohamad Zaquan Adha bagi menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-69.

Kemasukan penyerang itu jelas memberi nafas baru kepada pasukan namun banyak percubaan di depan gawang lawan masih belum mampu mencecah jaring Vietnam.

Namun, gol sendiri oleh Mai Xuan Hop akhirnya memperlahankan rentak lawan sebelum pengadil Pratap Singh meniup wisel penamat.

Malaysia menempah tiket ke final selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1 sementara Vietnam mengalahkan Singapura 4-1, pada perlawanan separuh akhir, pada Selasa.

Sejak emas tahun 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan itu diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina).

Pada edisi 2007, Malaysia tersingkir awal, pada saingan peringkat kumpulan.

Pada pertemuan kedua-dua pasukan di peringkat saingan Kumpulan A pada 6 Dis, Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam.

Malaysia, naib juara Kumpulan A, memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan membelasah Timor Leste 11-0, tumpas 1-3 kepada Vietnam, menang 4-0 ke atas Kemboja sebelum melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan sebanyak lapan edisi berturut-turut, Thailand, 3-1.

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabree Mat Abu, Mohd Nasriq Baharom, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar,K.Gurusamy, S.Kunalan, Safiq Rahim, Ahmad Fakri Saarani (Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak), Mohamad Muslim Mohamad (Mohamad Azmi Muslim), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan).

VIETNAM: Bui Tan Truong, Nguyen Quy Suu, Vo Hoang Quang, Mai Tien Thanh, Mai Xuan Hop, Tran Dinh Dong, Phan Thanh Binh, Pham Thanh Luong, Nguyen Thanh Long Giang, Phan Thanh Hung (Tran Manh Dung), Nguyen Ngoc Anh (Nguyen Trong Hoang).

PENGADIL: Pratap Singh (India)

No comments:

Pengiklanan